YasinSulaiman.com

#SolidaritiUntukYasinSulaiman

BipolarTentang Penyakit Bipolar

Yasin merupakan seorang yang sangat mesra, peramah dan bersemangat tinggi. Yasin disukai ramai dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Semua rakan-rakan dan kenalan Yasin menceritakan yang dia seorang sahabat yang baik, suka membantu, setia dan sentiasa memberi sokongan.

Dari usia muda lagi Yasin memang bercita-cita tinggi dan bersemangat untuk menceburi bidang yang diminatinya. Yasin mencapai kejayaan dalam kerjayanya dari awal lagi. Yasin sangat berdikari, bijak mencari peluang, rajin bekerja dan banyak menyumbang kepada masyarakat.

Kesedaran Bipolar

Yasin menyumbang kepada usaha meningkatkan kesedaran umum tentang penyakit bipolar disorder melalui temuramah dengan media di mana dia berkongsi pengalaman dan pergelutannya dengan penyakit bipolar. Ramai yang menghubungi kami dan memberitahu sifat keterbukaan Yasin bercerita tentang kesihatan mental memberi impak positif kepada mereka dan mengurangkan perasaan tersisih dari masyarakat.

Bipolar Disorder (Kecelaruan Dwi-kutub)

Maksud

Bipolar disorder atau kecelaruan dwi-kutub/gangguan bipolar, juga dikenali dengan nama penyakit kemurungan-manik, adalah gangguan mental yang menyebabkan perubahan luar biasa pada mood, tenaga dan keupayaan berfungsi. Gangguan bipolar terdiri daripada mania dan kemurungan pada dua-dua belah lingkungan bertentangan (dua kutub – bipolar). Kitaran gangguan bipolar boleh berterusan selama berhari-hari, berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Lain daripada perubahan mood yang biasa, gangguan bipolar jauh lebih teruk dang menggangu keupayaan untuk berfungsi dalam seharian dan memberi kesan kepada tenaga, pertimbangan dan kelakuan.

https://youtube.com/shorts/nISVKtxsXKQ?feature=share

Yasin menceritakan pengalamannya menghidap penyakit bipolar dengan siaran radio Zayan pada tahun 2019

Yasin menceritakan bagaimana dia berasa sangat murung selepas pertama kali mengalami episod mania. Dia mengenangkan nasib tetapi lama kelamaan dia menerima semuanya sebagai dugaan yang perlu diatasi.

Yasin pertama kali dimasukkan ke wad psikiatri di HUKM selama dua minggu pada tahun 2009. Empat tahun kemudian dia sekali lagi diwadkan kali ini di Hospital Universiti Malaya selama 4 hari. Pada tahun 2018, Yasin sekali lagi menjadi ‘manic’ tetapi pulih dengan sendirinya di rumah.

Tanda-tanda

Mania

Dalam episod mania, antara tanda-tandanya ialah:

· amat bertenaga tinggi

· bercakap dengan laju

· fikiran laju

· mempunyai banyak idea dan aktiviti

· mempunyai keyakinan dengan kebolehan diri yang berlebihan

· melakukan perbuatan yang berisiko

· membuat keputusan tidak baik

· senang hilang fokus

· kurang keperluan untuk tidur

· tidak tenteram

· cepat marah

Dalam episod mania yang teruk, seseorang itu mungkin menjadi delusional (mempercayai benda yang tidak benar). Dalam kes yang teruk, mereka mungkin berhalusinasi (melihat atau mendengar benda yang tidak ada), ataupun mengalami psikosis yang bermaksud mereka tidak boleh membezakan realiti dan khayalan.

https://youtu.be/AKI6caTIz7k

Temu ramah dengan TV3 selepas episod pertama gangguan bipolar pada tahun 2009

Yasin menceritakan bagaimana dia tertekan dan cuma tidur 3 jam sehari. Yasin sentiasa melayari facebook bersungguh-sungguh mahu mengubah dunia sehingga ternampak cahaya. Yasin tidak ingat apa yang ditulis pada masa itu.

https://youtu.be/_IhGoPSjuj4

Temu ramah Zain Sulaiman dengan Melodi TV3 April 2022 (segmen yang tidak disiarkan).

Zain menceritakan bagaimana dia sendiri melihat keadaan Yasin semasa pertama kali mengalami episod mania.

Yasin terpaksa dihantar ke wad psikiatri di HUKM. Dia amat 'manic' dan bercakap benda yang tidak masuk akal. Di kemudian hari Yasin tidak ingat apa yang terjadi. Zain menangis melihat keadaan Yasin ketika itu.

https://youtu.be/ZFXknbBnJ6U

Zain menceritakan bahawa Yasin memberitahunya Yasin mengalami psikosis sejak hujung tahun lepas.

Yasin berkata untuk menggambarkan psikosis ini seperti dia berada di dalam kegilaan. 'Dari luaran orang mungkin nampak saya seperti biasa tetapi di dalam saya, saya bertarung dengan psikosis. Saya cuma nak sembuh.'

Pakar psikiatri memberi Yasin ubat-ubatan tambahan tetapi psikosis itu terus berlaku.

Kemurungan

Pada arah lingkungan yang bertentangan pula ialah kemurungan iaitu:

· berasa sedih atau hilang harapan untuk jangka masa yang panjang

· berasa lesu atau tidak bertenaga

· masalah dengan ingatan dan foku

· hilang minat dengan perkara yang biasanya disukai

· menyisihkan diri

· kurang keupayaan untuk berfungsi dengan normal

· berfikir tentang atau mencuba untuk membunuh diri

https://youtu.be/L5vAhl9gBug

Temu ramah dengan Astro Gempak 2021

Yasin menceritakan episod mania dan kemudian kemurungan yang dialaminya selepas itu. Yasin sangat produktif apabila dalam episod mania dan membuat pelbagai kerja seperti mencipta lagu dan produksi. Tetapi selepas tidak tidur selama dua minggu dia akan tumbang dan berubah menjadi murung.

Dari tempoh masa ini, saya ingat Yasin mengemaskini status di Facebook selang beberapa minit berkenaan waktu solat (seperti countdown). Saya juga ingat saya menghantar mesej di messenger dan dia hanya dapat membalas seperti “gjsgkfsvcdj”. Ibu bapa dan abang saya pergi ke rumah Yasin untuk mendapatkan rawatan untuknya.

Penyebab

Sebab-sebab gangguan bipolar terjadi tidak diketahui dengan pasti tetapi antara faktor-faktor yang menyumbang kepada kejadiannya ialah faktor genetik/keturunan, struktur otak, faktor sosial seperti tekanan, pencetus persekitaran seperti kekurangan tidur dan model tekanan-diatesis. Menurut model tekanan-diatesis, kemunculan gangguan mental perlu ada wujudnya diatesis, iaitu kecenderungan semula jadi berlakunya gangguan itu dalam seseorang; dan kedua, tekanan, atau satu set keadaan hidup yang mencabar yang kemudiannya mencetus kejadian gangguan tersebut.

Rawatan

Rawatan untuk gangguan bipolar ialah kombinasi ubat-ubatan, kaunseling, perubahan gaya hidup dan rawatan alternatif. Doktor psikiatri akan memerhati tanda-tanda dan mengubah ubat-ubatan jika perlu. Tujuan ubat adalah untuk menstabilkan pesakit dan mengawal tanda-tanda mania dan kemurungan.

Kaunseling dan perubahan gaya hidup pula menangani pencetus persekitaran seperti tekanan dan kekurangan tidur.

Dengan ubat-ubatan, kesan sampingan harus ditangani dan pesakit mungkin akan dinasihatkan menukar ubat. Satu kesan sampingan yang Yasin alami ialah tangannya menggeletar. Setiap pesakit berbeza dan ubat-ubatan perlu disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit.

Apabila dirawat, orang yang mengalami gangguan bipolar boleh menjalani kehidupan sepenuhnya.

Rujukan:

https://www.psychiatry.org/patients-families/bipolar-disorders/what-are-bipolar-disorders

https://www.webmd.com/bipolar-disorder/mental-health-bipolar-disorder

https://www.simplypsychology.org/diathesis-stress-model.html

https://www.verywellmind.com/bipolar-disorder-4157274

https://www.webmd.com/bipolar-disorder/guide/bipolar-disorder-lithium

Coming Soon

YasinSulaiman.com masih didalam pembangunan dan kami sedang berusaha untuk menyiapkan sebelum perlancaran rasmi pada 22 Jun 2022. Sementara itu, anda boleh menyemak laman social media kami